Wednesday 16 December 2015

BUDAYA KAUM IBAN DI SARAWAK




Tradisi masyarakat iban ini adalah terdiri daripada adat, budaya, kepercayaan, dan kehidupan di rumah panjang. Walaupun kini masyarakat iban kurang dalam mengamalkan amalan dan tradisi nenek moyang mereka dahulu, tetapi adat dan budaya mereka masih diamalkan sehingga kini walaupun dalam bilangan yang sedikit. Adat mereka ini bertujuan untuk menjaga keamaan rumah panjang disamping dapat membina pergaulan dan hubungan yang baik sesama ahli-ahli keluarga di dalam rumah panjang.


CARA HIDUP
Berperang

Masyarakat iban dahulu lazimnya keluar pergi berperang. Mereka sangat terkenal dengan memenggal atau memburu kepala juga dikenali sebagai ‘head hunter’. Tujuan untuk mereka berperang ini adalah untuk mempertahankan kawasan sendiri daripada dimasuk oleh musuh. Disamping itu juga, mereka turut dapat memperluaskan kawasan jajahan mereka. Perluasan kawasan ini penting bertujuan untuk memburu dan bercucuk tanam dan melakukan aktiviti harian mereka. Keluasan kawasan jajahan menjadi simbolik bagi mereka dimana semakin besar kawasan yang mereka takhluk semakin kuat dan besar kuasa mereka. Mereka berperang atau bergaduh dengan kaum yang berbeza dari mereka. Sebagai contoh, kampung kaum Iban berperang atau bergaduh dengan kampung kaum Dayak. Mereka tidak bergaduh sesama kaum sendiri kerana talian persaudaraan mereka sangat kuat yang telah diterapkan di dalam Rumah Panjang dengan tradisi dan adat nenek moyang mereka.
Sebelum para pertempur pergi berperang, mereka akan mengadakan satu upacara ritual iaitu upacara "miring" yang dihadiri oleh orang-orang atasan dan barisan para pertempur yang bakal pergi bertempur. Kanak-kanak dan ibu mengandung tidak dibenarkan untuk menghadiri upacara tersebut. Upacara ritual ini merupakan upacara yang melibatkan ilmu memuja demi membakar semangat para pertempur. Selain itu, mereka juga menggunakan beberapa alatan dan bahan sepanjang memuja seperti mangkuk yang di isi beras, telur ayam, rokok gulung, tembakau dan sebagainya. Selain itu, upacara ini juga diselitkan dengan tarian sebelum bertempur. Sajak dan lagu untuk para pertempur di nyanyikan dan disampaikan demi menaikkan semangat mereka dan bertempur dengan bersungguh-sungguh.
Kebiasannya, para pertempur akan keluar berperang pada waktu tengah pagi dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Hal ini bertujuan untuk tidak ingin menyedarkan seisi rumah sewaktu mereka ingin keluar rumah untuk berperang. Sebelum mereka memulakan pertempuran, para pertempur akan berkumpul. Seorang lelaki yang merupakan ketua mereka akan menyembelih ayam dan mengambil darahnya untuk disalitkan ke muka mereka. Setelah lengkap dengan kelengkapan berperang, mereka akan teriak ‘Agi Idup Agi Ngelaban….Ooooooo Haaaaaaaa’. Moto ini sudah menjadi kata keramat untuk kaum yang berbangsa Iban sekaligus dapat menaikkan semangat mereka untuk melakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga ketitisan darah terakhir mereka  . Moto ini bermaksud selagi nyawa di badan, pasti akan melawan.
Mereka akan balik bertempur pada awal pagi dalam jam 3 hingga 4 pagi dengan membawa kepala-kepala musuh mereka. Keesokan harinya, mereka akan mengadakan upacara untuk meraikan para pejuang yang telah pulang dari bertempur. Seorang wanita tua yang bertatu di tangan dan badannya yang dipercayai telah menerima sumpahan telah ditugaskan untuk menerima kepala ketua musuh yang telah dipenggal itu. Setelah itu, kepala tersebut direbus untuk membuang kulit dari tengkoraknya. Tengkorak yang telah direbus dan dibersihkan akan di gantungkan di tengah-tengah bahagian rumah. Hal ini untuk menunjukkan kekuatan ahli Rumah Panjang sekaligus bertujuan untuk menakut-nakutkan pihak musuh kerana makin banyak bilangan tengkorak yang digantung, semakin ramai pejuang-pejuang di dalam Rumah Panjang tersebut.
Untuk menampakkan lagi situasi dan adat orang Iban sebelum keluar berperang, anda boleh melihat filem ‘Sleeping Dictionary’ yang dilakonkan oleh pelakon barat, Jessica Alba. Filem ini menceritakan tentang kehidupan orang Iban di Sarawak. Terdapat satu babak dimana upacara telah dijalankan sebelum mereka pergi berperang pada esok pagi dan pulang dengan membawa kepala musuh. Di dalam upacara itu, mereka bersuka ria dan menari beramai-ramai. https://www.youtube.com/watch?v=N1LtEXiWV9Y 

Mencacah Badan 


Amalan mencacah tubuh atau bertatu menjadi amalan bagi orang Iban. Corak tatu di badannya mereka juga turut berbeza-beza. Perbezaan corak tatu ini untuk membezakan pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak. Gambar di atas merupakan corak tatu kaum Iban. Corak ini dikenali sebagai bunga terung. Corak tatu mereka lebih berunsurkan flora dan fauna seperti bunga terung, burung kenyalang, naga dan banyak lagi. Tatu ini juga menunjukkan keberanian dan pangkat seseorang. Misalnya bagi kaum lelaki, tujuan mereka bertatu ini adalah untuk menunjukkan bahawa mereka pernah terlibat dalam peperangan dan banyak pengalaman. Bilangan tatu di badan juga akan ditentukan dengan jumlah kepala musuh yang di penggal dan di bawa balik daripada memburu (ngayau). Manakala bagi kaum wanita, mereka bertatu untuk menunjukkan kebolehan mereka memasak, menganyam, menari (Ngajat) dan berpantun.
Tatu yang penuh dibahu juga; diamalkan dikalangan lelaki sahaja; melambangkan tanggungjawab besar yang dipikul di dalam sesebuah keluarga. Lelaki yang tidak bertatu dianggap sebagai ‘telanjai’ atau bermaksud seperti rumah yang tidak punyai atap. Terdapat sesetengah corak tatu yang dikhaskan untuk golongan pahlawan sahaja. Dikalangan kanak-kanak berusia 10 atau 11 tahun, tatu ini dicacah menandakan mereka “baru lanjau” iaitu sudah bersedia untuk menyertai aktiviti buruan dan menjadikan mereka kebal. Bagi mereka, pemilihan pasangan hidup samada lelaki atau perempuan juga berpandukan pada bilangan tatu di badan. Ini kerana, makin banyak tatu di badan makin banyak kebolehan dan kemampuan yang mereka ada disamping dapat menarik minat pasangan yang melihat.
Alatan untuk mencacah tubuh ini secara tradisional seperti pemegang kayu dan jarum. Jarum akan diikat di hujung pemegang kayu. Pukulan ringan akan dilakukan pada kayu yang mengena permukaan kulit dengan jarum yang telah dicelup pada dakwat untuk meninggalkan tatu di badan. Berikut adalah 'link' dokumentari tentang proses pembuatan mencacah badan secara tradisional yang dilakukan oleh orang Iban. https://www.youtube.com/watch?v=WlWXnZNn3u8&spfreload=10
Selain bertatu, mereka juga menyimpan rambut yang panjang di belakang dan pendek dihadapan seperti di dalam gambar. Apa yang menarik perhatian saya, gaya rambut sebegini mempunyai fungsi dan kepercayaan mereka tersendiri. Menurut En. N, mereka mengumpul rambut yang panjang dibelakang bertujuan untuk menyelamatkan kepala mereka daripada ingin dipenggal dari belakang; daripada pihak musuh. En N juga memberi contoh apabila rambut di letakkan atau di tutup bahagian batang pokok pisang (mewakili kepala), apabila dipotong, lapisan rambut tadi itu melindungi batang pokok pisang daripada terbelah dua. Struktur rambut yang kuat itu mampu melindungi kepala apabila pergi bertempur.


Kraftangan dan Kemahiran


Selain daripada kebolehan memburu dan bercucuk tanam, masyarakat Iban juga mahir dalam membuat kraftangan. Mereka menghasilkan kraftangan atau hasil seni yang melambangkan identity masyarakat itu sendiri. Antara kraftangan yang mereka hasilkan adalah seperti tikar, raga, pasu dan sebagainya.
Kebiasannya, yang menghasilkan kraftangan ini adalah kaum wanita. Menurut masyarakat Iban, jika wanita tidak pandai mengasilkan kraftangan, mereka dianggap menjengkelkan dan tidak dipandang oleh kaum lelaki. Jadi, sebelum seseorang wanita itu ingin berkahwin, mereka perlu mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran membuat kraftangan ini. Bagi mereka, hasil daripada anyaman itu dapat menambat hati si keluarga mentua.
Kraftangan yang dihasilkan oleh orang Iban mempunyai kegunaan yang tersendiri. Seperti contoh tikai lampit. Ia merupakan sejenis tikar yang ditusuk dengan menggunakan tali tansi dan juga diperbuat daripada rotan yang telah diraut nipis. Manakala tikai kerupuk dan tikai senggang ialah tikar yang diperbuat daripada mengkuang dan senggang. Ia digunakan untuk menjemur padi. Corak tikar ini dianyam dengan bercorakkan corak bunga, manusia, burung dan sebagainya yang mempunyai kaitan dengan mereka.
Antara kraftangan pula ialah pasu dan tempayan. Tanah liat yang telah diuli dibentuk menjadi tembikar. Mereka turut mengukirnya untuk tampak lebih cantik dengan corak-corak yang kreatif dan pelbagai. Kegunaan tempayan ini untuk menyimpan beras, barang makan dan juga air.

Pada zaman sekarang, kraftangan masyarakat Iban masih lagi mendapat sambutan kerana ukirannya yang cantik dan asli dan sukar untuk di dapati dimana-mana. Antara yang masih mendapat sambutan ialah Tikai Lampit dan kain tenun.


Sumber dari En.N melalui Aplikasi 'Whatsapp'
Ini adalah barang-barang kraftangan yang ingin di jual oleh En.N di "Visit Mini Malaysia, Melaka". Menurut En. N, kraftangan ini adalah hasil tangan isterinya sendiri yang berbangsa iban yang turut menetap ni Melaka bersamanya. 

AGAMA & KEPERCAYAAN

Zaman dahulu, masyarakat Iban percaya terhadap kepercayaan animisme. Mereka berpegang pada kepercayaan yang diamalkan oleh nenek moyang mereka dahulu. Mereka berpandukan pada ‘Papan Turai’ yang telah ditulis oleh ‘Tuai Raban Bansa” dengan berpandukan nasihat dari ‘Manang’ dan ‘Lemambang’.

Orang Iban percaya bahawa terdapat kewujudan seorang Tuhan iaitu Binsi Petara yang dipercayai mencipta dunia dan alam semesta. Di bawah Tuhan ini terdapat 7 orang dewa. Anataranya ialah:
·         Dewa Peperangan – Sengalang Burong
·         Dewa Keagamaan – Biku Imam Bunsi Petara
·         Dewa Perubatan – Menjaya
·         Dewa Pertanian & Tanah – Sempulang Gana/Semerugah
·         Dewa penyembuh semulajadi & Dewa Keadilan – Ini Inee/Andan
·         Dewa Kekayaan – Anda Mara/Gangga Ganggong
Orang Iban percaya bahawa semua benda hidup mempunyai semangat dan roh mereka masing-masing. Mereka juga turut percaya pada ilmu firasat dan turut bergantung padanya. Contoh ilmu firasat mereka adalah melalui mimpi yang baik atau buruk, binatang bisa, burung bisa yang sengaja dicari atau dijumpai tidak sengaja dan hati babi yang dibaca baik buruk maksudnya. Kini, masyarakat Iban majoritinya adalah penganut agama kristian. Selebihnya ada yang menganut agama lain seperti Agama Tradisional, Islam, Ateisme dan lain-lain agama. 

ADAT RESAM

Masyarakat Iban juga mempunyai pelbagai adat resam yang masih juga diamalkan sehingga zaman kini. Adat resam ini juga dianggap sebagai pantang larang menurut kepercayaan mereka yang tersendiri. Antara contoh adat mereka ialah mengurus kandungan dan kelahiran, adat perkahwinan  dan adat sewaktu menguruskan kematian.

1.       Sewaktu Mengandung

Bagi bakal si ibu dan suami, mereka dilarang untuk menggali parit, tidak boleh minyang daging, membunuh binatang dan membenam pokok pisang. Pantang larang ini perlu diikuti untuk menjamin kesempurnaan fizikal bayi yang akan lahir dan juga fungsinya untuk mengalang kuasa-kuasa ghaib yang tidak diingini daripada mengganggu bayi.

2.       Selepas Kelahiran

Selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dan bayi akan dimandikan. Setelah itu bayi akan dibedun menggunakan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ibu yang telah melahirkan anak tadi akan diurut untuk mengelakkan rasa sengal-sengan dibadan. Kemudian, si ibu akan disapu dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu.

Antara pantang larang ketika menyambut bayi yang baru lahir, wajib oleh si ibu untuk mematuhi pantang larang ini. Jangka masa berpantang ini selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak. Makanan juga turut dicampurkan dengan halia untuk memanaskan badan. Wanita bersalin juga akan menjalani satu amalan iaitu berdiang. Berdiang ini adalah dimana si ibu perlu dekat dengan unggun api. Kayu untuk menghidupkan unggun api haruslah menggunakan kayu malam dan langsat supaya dapat menyembuhkan penyakit selepas bersalin. Amalan ini berterusan selama 40 hari untuk mengembalikan tenaga.

Seterusnya, adat untuk menanggalkan pusat bayi. Bayi akan di bawa keluar ke anjung untuk melihat matahari dan diberi air garam. Adat ini dijalankan setelah bayi ditanggalkan tali pusatnya iaitu usia bayi 4 hari. Nama bayi turut diberi sempena nama nenek moyang mereka. Hal ini untuk mewarisi jasa dan sumbangan nenek moyangnya yang sudah tiada.

Seterusnya ialah adat mandi sungai di mana adat ini dijalankan ketika bayi berusia 1 bulan. Ini adalah untuk membiasakan bayi dengan air sungai. Bayi akan dipakaikan dengan kain pua kumbu belantan dan diiringi doa dan mantera. Doa dan mantera ini untuk meminta bayi menjadi seorang yang sempurna. Setelah itu, dua 2 orang lelaki akan menetak air dan sembelih ayam. Sayap ayam akan diikat dengan benang merah yang digantung pada galah berayang untuk bayi lelaki. Bagi bayi perempuan, mereka akan dimandikan dan gendang akan dipalu. Upacara adat ini akan berakhir dengan jamuan ringan.

3. Adat perkahwinan



  •        Merisik
Bagi masyarakat Iban, adat merisik adalah adat yang wajib diikuti. Kebiasaannya perkahwinan ditentukan oleh pengantin lelaki. Merisik ini dijalankan apabila seorang teruna telah berkenan pada seorang gadis, dan keluarga lelaki akan datang merisik ke rumah gadis berkenaan. Perjumpaan antara dua keluarga ini dipanggil sebagai ‘berbunga-bunga’ atau ‘berjarum-jarum’. Saat ini, mereka telah berbincang dalam menentukan syarat-syarat perkahwinan dan berian. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan ini baik dan menggalakkan. Dan barulah syarat perkahwinan ditentukan oleh kedua-dua pihak.
  •        Bertunang
Peringkat bertunang ini diteruskan apabila perundingan telah selesai dibuat. Keluarga pengantin akan datang untuk mengurusakan ikatan pertunangan. Adat bertunang ini dilangsungkan dengan cara bapa pihak lelaki akan menanggalkam “lapit” atau ikat pinggang atau turut dikenali sebilah pedang sebagi tanda ikatan pertunangan. Setelah ikatan pertunangan terjalin, perempuan yang telah ditunangkan tidak dibenarkan untuk menerima kunjungan dari lelaki lain. Jika tidak, perempuan itu akan dianggap mencemarkan ikatan pertunangan. Sebagai tanda ikatan pertunangan, sebentuk cincin dipakai oleh pasangan dan harus sentiasa dipakai. Jika ikatan pertunangan itu putus kerana salah seorang telah melakukan kecurangan, maka orang itu akan di denda kerana telah untuk menebus malu keluarga pihak yang dicurangi itu. Tetapi jika terputus akibat kematian, pertunangan itu masih berjalan dengan baik kerana hubungan yang baik maish terjalin dan tidak perlu didenda.
  •        Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang
Majlis perkahwinan ini dimulakan oleh pihak lelaki dimana mereka akan menyediakan barang-barang atau hantaran yang akan diberikan kepada pihak perempuan. Antaranya ialah kain, raga, pedang, hasil kraftangan dan barang kemas. Keluarga pihak perempuan membuat persiapan seperti memburu binatang untuk dijadikan lauk kepada tetamu yang akan datang.

Pasangan ini akan mengenakan pakaian tradisional Iban. Keluarga pihak lelaki berjalan diiringi oleh paluan gong. Tiba di rumah pengantin perempuan, satu das tembakan akan dilepaskan tanda tetamu sudah tiba. Rombongan pengantin perempuan akan bersiap sedia untuk turun ke sungai mandi bersama-sama dengan pengantin lelaki. Ini adalah untuk menunjukkan permulaan silaturahim antara dua keluarga pengantin.

Sebelum upacara perkahwinan bermula, perbincangan akan diadakan di ruai dan “air tuak” turut dihidangkan sebagai air peransang kepada tetamu. Setelah mengetahui hubungan kekeluargaan, pengantin akan meminta berian. Nilainya ditetapkan oleh masyarakat di situ. Pihak pengantin perempuan akan minta bayara “pemecah tangga” iaitu sebilah beliung, bayaran “pembuka pintu” iaitu sebatang lembing, bayaran “pembuka kelambu” iaitu sebilah pedang dan bayaran-bayaran yang lain.

Setelah itu, upacara membelah pinang dijalankan. Upacara ini adalah untuk menentukan tempoh jodoh antara pasangan pengantin ini. Buah pinang itu dibelah dan diagihkan kepada tetamu. Setelah itu, upacara ini pun tamat. Jika ada sebarang kesalahan semasa menjalankan adat ini, pengantin akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Sehelai kain yang panjangnya 7 ela dipegang supaya kesalahan mereka akan hilang.

3.       Adat Mengurus Kematian

Semasa upacara kematian ini, sanak-saudara akan datang berkunjung untuk tanda hormat. Mayat si mati akan dimandikan  dan turut dipakaikan pakian yang baik dan diletakkan di tengah-tengah Rumah Panjang iaitu di ruai. Barang-barang si mati akan dibungkus kerana kepercayaan mereka untuk bekalan di dunia selepas mati atau “dunya sebaya”. Di atasnya akan tergantung kain pua kumbu. Sepanjang malam dan siang, ada orang yang akan ditugaskan untuk menangisi si mati selain dari keluarga si mati. Tangisan itu adalah untuk mendoakan dan berharap dapat menghantar dan bawa si mati ke dunya sebayan.


Upacara pengebumian dijalankan waktu subuh jam 4 pagi. Lubang digali, dibuatkan rumah dan barang-barang si mati ditanam bersama. Setelah itu, mereka akan berkabung atau “ngulit” dalam beberapa tempoh masa. Pantang larang seisi rumah untuk tidak buat bising, dilarang berhias dan memakai barang kemas. Pinggan yang dibalut dengan kain hitam digantungkan di hadapan rumah tanda ada berlaku kesusahan dan kesedihan. Upacara “berserara bungai” dijalankan untuk mengelakkan roh si mati mengganggu mereka. setelah upacara berkabung tamat, mereka akan mengadakan upacara “gawai antu” untuk meraikan si mati. 

PERAYAAN 

Gawai
Perayaan Gawai ini disambut setahun sekali pada 1 atau 2 Jun. Perayaan ini disambut menunjukkan bahawa berakhirnya musim menuai padi. Mereka merayakan perayaan ini dengan berkumpul di serambi umum Rumah Panjang yang terdapat ranyai atau dikenali pokok istiadat. Mereka akan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Iban yang dipenuhi dengan manik yang mewarisi budaya atau adat nenek moyang mereka. Sewaktu perayaan ini, mereka memeriahkan lagi suasana dengan berjumpa, berkumpul dan bersuka ria sambil menikmati pelbagai jenis makanan tradisional yang disediakan. Perayaan gawai ini turut terkenal dengan tariannya yang dikenali sebagai tarianNgajat. Selain itu juga, perayaan Gawai ini juga diselitkan dengan meminum arak beras (tuak) dan aktiviti hiburan yang lain.

Dari segi kepercayaan mereka, mereka turut menyediakan makanan dan arak kepada dewa kekayaan sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih hasil daripada tuaian yang baik dan menguntungkan. Upacara ini dikendalikan oleh orang yang tertentu sahaja seperti wakil masyarakat. Mantera dibacakan dan darah ayam akan direnjiskan pada persembahan tersebut.
Ngajat Lesung ialah sejenis tarian yang dipersembahkan oleh para penari yang bersaing ingin menunjukkan kehebatan mereka dengan mengangkat lesung penumbuk padi dengan menggunakan gigi. Apabila ranyai dibuang, maka berakhirlah perayaan ini. 

6 comments:

  1. apakah fungsi lain tatu kaum iban ini ? dan bolehkah saya mendapat butiran lebih lanjut daripada anda mengenai tatu dalam aplikasi lain seperti whatsapp

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menurut kepercayaan kaum iban pada masa lampau, tatoo becorak bunga terung ada cerita tersendiri. pada masa dahulu sepasukan pahlawan kaum iban berperang melawan sub suku dayak kantu, ketika itu mereka hampir sahaja dikalah kan oleh pasukan musuh.. maka mereka meminta bantuan dari tuhan peperangan@dewa perang kaum iban.. tekala itu banyak bunga2 terung turun dari langit sehinga menyebab kan mata pihak musuh tk dapat melihat dan ini membolehkan pahlawan iban memengal kepala musuh tersebut.. Sebab tu kebanyakan pewira iban akan menatoo corak bunga terung pada badan mereka apabila mereka berjaya atau pernah memengal kepala musuh

      Delete
  2. Boleh saya refer akak untuk folio saya

    ReplyDelete
  3. Sedikit kesilapan.. gambar rambut panjang tu bukan iban tetapi murut sabah...

    ReplyDelete
  4. Blh lh jdi sebagai kerja sekolah sya cuma sya singkatkan kerana terlalu panjang..but thank sebab bgi informasi

    ReplyDelete
  5. TQ FOR THIS INFORMATION

    ReplyDelete